Bagaimanakah Enjin Carian Bekerja?

Bagaimanakah enjin carian bekerja? Serba sedikit tentang enjin carian.

Enjin Carian

Enjin carian adalah laman yang mana fungsi utamanya adalah untuk memberi maklum balas terhadap perkataan atau frasa yang dimasukkan ke dalam ruangan yang disediakan. Maklum balas ini adalah hasil carian. Hasil carian akan dipaparkan dalam SERP iaitu search engine result page, muka hasil carian enjin carian.

Bagaimanakah Enjin Carian Bekerja

Enjin carian bekerja dengan menghantar crawler, perayap atau spider, labah-labah untuk memasuki laman-laman web yang wujud di internet dan mengumpul segala maklumat berbentuk teks yang ada pada laman tersebut. Perayap ini kemudiannya akan menghantar semula ke pelayan enjin carian yang akan menyimpan data-data ini dan diproses. Proses apa yang berlaku di dalam pelayan enjin carian? Ianya rahsia laman-laman enjin carian tersebut, jadi saya tidak boleh ceritakan dengan sebenar kerana hanya mereka sahaja yang tahu.

Bagaimana Perayap atau Crawler Sampai ke Laman Web Anda

Untuk suatu perayap sampai ke satu laman web ia memerlukan satu laluan. Dalam dunia siber internet, laluan bagi perayap ini adalah sambungan kabel-kabel internet. Jadi pertamanya laman web anda perlulah disambungkan ke internet. Jika tidak ia tidak akan dapat dicapai oleh perayap.

Keduanya, perayap ini perlu tahu alamat ke mana ia hendak tuju, jadi ia perlu dibekalkan dengan alamat. Alamat ini adalah alamat laman web anda, dalam bahasa internetnya ia dipanggil hyperlink. Hyperlink ini perlu aktif. Aktif di sini bermaksud boleh diikuti, atau jika anda klik pada pautan itu ia akan membawa anda ke laman yang diberi oleh alamatnya.

Jadi jika perayap dapat alamat anda, ia akan pergi ke laman anda dan akan membaca semua muka surat yang ada pada laman dan menyimpannya di pelayannya. Anggaplah perayap ini sebagai seekor (ye ke penjodoh bilangan ni?) robot yang sedang bermain internet setiap masa dan menyimpan segala input yang diterimanya.

Penghasilan Indeks

Apabila pelayan menerima menerima maklumat, ia akan membuat indeks. Indeks ini adalah berdasarkan suatu laman. Indeks adalah simpanan enjin carian tentang laman anda. Anda boleh periksa laman anda sudah diindekkan atau belum dengan menaip site:www.alamat-anda.com pada enjin carian dan cari. Jika ada hasil carian maksudnya laman anda sudah diindekskan dan akan muncul pada muka hasil carian (SERP) apabila frasa berkaitan laman anda dimasukkan semasa carian. Jika anda tidak menemui laman anda pada muka pertama SERP, jangan bimbang, sebenarnya laman anda ada dalam hasil carian, tetapi berada di muka belakang. Ada beberapa sebab ini berlaku, tetapi yang paling utamanya adalah kerana laman anda tidak begitu menepati apa yang dicari oleh pengguna.

Letak Alamat Laman Anda

Jika anda mahu laman anda diindekskan oleh enjin carian, anda perlulah meletak alamat laman anda dalam laman-laman yang sudah diindekskan. Salah satu cara yang paling mudah ialah dengan mendaftarkan laman anda dalam direktori yang sedia ada berlambakan di internet. Atau anda boleh ping laman anda menggunakan perkhidmatan pingomatic. Ping ialah satu cara memberi tahu enjin carian alamat laman anda. Ini cara yang paling mudah. Banyak lagi cara-cara lain yang boleh dibuat.

Enjin-enjin Carian Utama

Terdapat bermacam-macam enjin carian dalam internet. Namun yang paling digemari kerana ketepatannya adalah Google, Yahoo dan Bing. Bing adalah enjin carian yang masih baru namun sedang meningkat naik. Anda boleh pilih enjin-enjin carian kegemaran anda. Saya, memilih google kerana keringkasan dan ketepatannya.

Sebenarnya banyak lagi yang boleh saya tulis berkenaan enjin carian ini, namun untuk kali ini cukuplah sekadar ini buat pengenalan. Saya pun ingin tunaikan solat Asar sekejap. Harap tulisan ini berguna dan menambah pengetahuan anda. Jika anda rasa ini menambah pengetahuan anda, sudilah undi langgan laman ini. Wassalam.

2 comments:

  1. labah-labah Bing kenapa sangat serap.yahoo pun lebih kurang sama.google laju pula.

    ReplyDelete
  2. LABAH2 TUE TALI DIA PANJANG COZ RAMAI NGAT MNGSA YER!!HUHUHH...

    ReplyDelete