5 Sebab Anda Jadi Pokai dan Lingkup (Tiada Wang)

5 sebab anda jadi pokai dan lingkup

Jadi pokai memang teruk. Saya telah melalui masa-masa dalam hidup saya di mana saya telah hidup begitu hampir dengan masalah kewangan, maka dengan sebab itu saya tahu betapa tertekan dan teruknya rasanya diri bila berada dalam keadaan itu. Bila anda pokai dan tidak berduit tetapi pada masa yang sama benci pada pekerjaan anda, ia menjadi lebih buruk. Sukar untuk meninggalkan sebarang kerja, tidak kira betapa teruknya kerja itu.

Menghadapi suatu pekerjaan yang anda benci adalah sukar, tetapi bila anda seperti tidak pernah mempunyai cukup wang membayar bil-bil dan sewa, apa lagi untuk menyimpan, ia akan adi lebih menekan jiwa. Tekanan kewangan adalah sangat membebankan terhadap anda, perkahwinan anda , dan anak-anak anda.

Untuk mengatasi masalah kewangan tidaklah sukar sangat, walaupun tanpa pekerjaan bergaji tinggi. Ianya bergantung kepada tabiat berbelanja anda. Ia tampak begitu mudah sahaja; berbelanja kurang daripada yang anda dapat. Realitinya, ianya adalah jauh lebih sukar daripada itu.

Dengan perkara ini dalam fikiran, ini adalah 5 sebab utama anda akan sentiasa jadi pokai:

  1. Pasangan Anda Hilang Kawalan.
    Ini kerap berlaku. Mungkin ini sedikit keterlaluan, tetapi mempunyai pasangan yang tidak rasa kesukaran untuk bekerja dan urus kewangan keluarga bersama adalah amat sukar. Apa lagi jika pasangan anda tidak mampu mengawal kehendaknya untuk membeli apa sahaja yang menarik minatnya. Jika kedua-duanya tidak boleh bekerjasama untuk urus kewangan, atau kawal belanja, keadaan biasanya akan menjadi teruk.

  2. Anda Dalam Penafian.
    Berjuta-juta orang berada dalam keadaan ini. Ini adalah apabila anda tidak mahu menerima bahawa anda sudah perlu melihat dengan serius terhadap keadaan kewangan anda. Berbuat demikian bermaksud anda mungkin terpaksa berhenti berbelanja dan menjalani hidup tanpa benda-benda yang jiran anda dan orang lain ada. Siapa yang hendak berbuat begitu bukan?

  3. Anda Berkhayal.
    Saya pernah menyertai pemasaran pelbagai aras (multi level marketing, MLM) beberapa tahun dahulu dan saya diberitahu jika saya mengikuti sistem mereka yang ‘telah terbukti’, saya akan jadi kaya. Anda rasa bagaimana? Ribuan dari kita terkena dengan ini. Kita berbelanja sakan tanpa endah, mana tidaknya, kitakan akan kaya dalam masa 3 tahun lagi. Natijahnya, ia tidak menjadi seperti apa yang kita mahukan dan syarikat itu, bersama dengan harapan kita untuk menjadi seorang jutawan, melingkup ke dalam tanah.

    Ini contoh yang telah berlaku pada diri saya sahaja.

    Mengimpikan sesuatu adalah baik jika ianya dirancang dengan berpandukan realiti. Mengikut-ikut orang atau tren terkini secara membuta tuli adalah jalan kepada kerugian.

  4. Anda Tiada Belanjawan.
    Adakah membuat belanjawan membuatkan anda lari lintang pukang berlindung di dalam gua di sebalik bukit? Jika ya, mengapa? Kerana ia membosankan, mengawal anda, menjadikan diri anda kurang dari orang lain dan buat anda rasa tertekan. Iyalah, itu tidak boleh, ini tidak boleh, ini kena kurang, itu kena kurang, buat diri anda dikawal dan diikat. Saya boleh buat AutoCAD dan Excel sepanjang hari, tapi saya tidak suka buat belanjawan. Ia payah dan mengongkong saya.

  5. Anda Bazirkan Terlalu Banyak Wang.
    Ini sangat jelas, tapi anda akan terkejut bahawa sebenarnya tidak ramai orang yang menjejak perbelanjaan spontan mereka. Di sini dimaksudkan adalah lihat pada apa yang anda belanjakan, bukan berjimat. Ramai orang tidak ambil kisah tentang teh tarik dan roti canai pada pagi hari dan air tin bergas dan makanan ringan pada petang hari. Tetapi cuba teka, jika mereka belanja RM10 sehari, setahun mereka sudah belanja sebanyak RM3650 setahun untuk itu. RM3650 ini sudah cukup untuk membawa keluarga anda bercuti.

    Cuba jejaki setiap sen yang anda belanjakan dan anda akan lihat perbezaannya! Apabila anda jejaki, anda boleh buat belanjawan. Tanpa melihat pada apa yang anda belanjakan, anda tidak tahu apa yang perlu dan boleh anda hadkan atau singkirkan terlebih dahulu.

Ada banyak lagi sebab lain mengapa anda boleh jadi pokai, tetapi ini adalah yang paling biasa. Jadi apa yang perlu kita lakukan?


Bagaimana Untuk Tidak Pokai

Kita mungkin boleh merubah kewangan kita ke arah yang sebaliknya dan keluar dari kegelapan, tetapi ia memerlukan usaha, usaha yang gigih.

Berikut adalah 5 cara untuk mengelak dari pokai:
  • Berbincang dengan Seorang Professional.
    Cari Perancang Kewangan Berdaftar (RFP) yang boleh membantu anda melaksanakan rancangan kewangan yang komprehensif untuk anda. Akuilah, kebanyakan orang tidak tahu apa yang hendak dibuat bila berdepan dengan duit.

    Contohnya; Anda mempunyai RM100k, apa yang terbaik anda boleh buat dengan duit tersebut. Beli rumah? Melabur? Berbincanglah dengan ahli professional. Bahasa-bahasa pelaburan selalunya mengelirukan dan menakutkan.

  • Gunakan Wang Tunai Sahaja.
    Hah! Apa?!!! Terlalu ramai orang menjadi mangsa apabila mereka rasa mereka boleh guna kad kredit mereka kali ini sahaja dan bayar sebaik sahaja bil sampai. Belian tadi bertambah menjadi dua dan menjadi RM10 ribu dalam bentuk hutang Visa dan MasterCard. Jika anda rasa anda lebih bijak dari itu dan sebaliknya menggunakan kad debit, ia sebenarnya tidak berkesan juga. Anda akan terlebih guna juga nanti. Bajetkan keperluan anda untuk bulan tersebut dan gunakan wang tunai sahaja.

    Gunakan kaedah sampul untuk bajetkan belanja anda untuk bulan tersebut. Anda sediakan sahaja beberapa keping sampul surat. Anda tandakan sampul itu dengan perkara tertentu seperti sewa rumah, perbelanjaan dapur, belanja persekolahan anak dan sebagainya. Anda ambil wang anda di bank, dan masukkan ia ke dalam sampul tersebut mengikut peruntukan anda. Kaedah ini sebenarnya dapat mengelak diri anda daripada 'terbabas' daripada berbelanja lebih setiap bulan.

  • Potong Perbelanjaan Anda.
    Saya bukan menyuruh anda potong elektrik dan internet rumah anda dan makan mee segera setiap hari. Saya berbicara tentang menghadkan perkara seperti makan di luar, mengelak dari membeli snek dan makanan rapu semasa menonton tayangan gambar, mengurangkan langganan saluran tv berbayar anda dari 30 saluran kepada 15 saluran, dan secara umumnya berbelanja tanpa hemah.

  • Potong Wang Secara Automatik Ke Akaun Simpanan Dari Gaji Anda.
    Ini adalah antara perkara yang saya suka kerana kita tidak sedar sebenarnya kita sedang menyimpan. Saya, sebenarnya bukanlah penyimpan yang baik. Saya suka berbelanja. Sebaik sahaja anda tahu jumlah yang anda perlu gunakan setiap bulan, ambil sebahagian dari wang yang lebih tadi dan masukkan dalam akaun simpanan seperti ASB dan Tabung Haji. Juga masukkan sebahagian ke dalam akaun yang tidak mudah dicairkan seperti KWSP. Buat potongan terus dari gaji anda dengan jumlah ini.

  • Didik Diri Anda.
    Ramai dari mereka yang bergelut dengan bil-bil mereka adalah tidak berilmu dari kewangan. Mereka mungkin lari apabila orang berbincang tentang kewangan. Anda tidak boleh lagi berbuat demikian. Carilah buku tentang kewangan diri dan luangkan masa untuk membaca dan memahaminya. Anda sekurang-kurangnya perlu tahu asas-asasnya. Lebih banyak anda faham tentang duit, simpanan, pelaburan, belanjawan dan sebagainya, lebih tinggi kemungkinan anda mampu mengawal kewangan anda. Jika anda biarkan ia mengawal anda, anda akan sentiasa menjadi pokai.

Kesimpulannya, jika anda sekarang hidup luar dari kemampuan anda, anda mesti mengawal keadaan tersebut dengan segera. Ramai orang yang telah hilang segala-galanya hanya kerana mereka tidak mampu mengawalnya.

Jangan anda pun turut sekali jadi begitu. kredit foto : smoMashup_

2 comments:

  1. Melingkup......hahaha......

    ReplyDelete
  2. Terima kasih. Artikel yang menarik.

    ReplyDelete