Wednesday, December 29, 2010

Final Piala Suzuki AFF - Malaysia Akhiri Kemarau 14 Tahun

Malaysia Juara Piala Suzuki AFF.
Tahniah buat Malaysia yang telah berjaya menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 mengalahkan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia.

Kemenangan Malaysia itu diperoleh selepas berjaya mengatasi Skuad Garuda dengan agregat 4-2.

Pada perlawanan akhir peringkat kedua ini, Malaysia memperoleh gol pertama melalui Safee Salee pada minit ke-54, manakala Indonesia berjaya mendapat satu gol hasil sumbangan Mohammad Nasuha pada minit ke-72 dan gol sendiri pemain Malaysia, Mohamad Muslim Ahmad pada minit ke-88.

Paling menarik, sepakan penalti pemain Indonesia, Firman Utina, berjaya diselamatkan oleh penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Terdahulu pada aksi peringkat pertama perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malaysia menang dengan jaringan 3-0.

Berikut adalah sorotan perlawanan akhir peringkat pertama dan kedua pertandingan ini.



Semoga ini menjadi permulaan kebangkitan bola sepak negara. Tahniah Malaysia dan terima kasih buat skuad negara atas kemenangan manis ini.
read more "Final Piala Suzuki AFF - Malaysia Akhiri Kemarau 14 Tahun"

Monday, December 20, 2010

Empat Pokok Hiasan Yang Baik Untuk Bilik Anda

Tumbuh-tumbuhan adalah hiasan unik yang berkesan selain dari ianya cantik dan estetik. Selain dari dapat memperbaik kualiti udara – dan bauan – bagi sesebuah bilik, tumbuh-tumbuhan boleh memberi satu suasana menenangkan yang sangat sesuai bagi para pelajar untuk lebih tekun dan memberi tumpuan semasa belajar. Akan tetapi meletakkan tumbuhan dalam bilik memerlukan sedikit tanggungjawab, jadi pilihlah tumbuhan yang boleh memberikan yang terbaik untuk anda.

Tumbuhan bilik yang baik adalah cukup kuat untuk bertahan dalam cahaya dan air yang sedikit (jika bilik anda begitu), dan tidak membesar terlalu banyak bagi bilik anda yang sememangnya sudah sendat itu.

Lihatlah senarai kami bagi tumbuhan bilik terbaik dan pilih yang paling sesuai untuk anda.

Pokok Limau Lemon Kecil

Tampak seketika seperti tidak logik untuk meletakkan pokok ini dalam ruangan yang sempit, tetapi pokok limau kecil boleh memberi kesan baik kepada bilik. Pokok ini boleh membesar sehingga enam kaki tinggi dalam keadaan yang baik untuknya, jadi ianya memerlukan sedikit kerja cantasan untuk mengekalkannya dalam saiz yang sesuai. Namun ia adalah satu usaha yang berbaloi apabila bau wangian sitrus atau kasturinya yang menyegarkan berlegar dan buahnya yang kekuningan dan cantik menghiasi bilik anda.

Siram pokok anda secukupnya untuk mengekalkan kelembapan tanahnya, dan sembur kabus air setiap hari agar daunnya tidak kering. Letakkannya berdekatan dengan tingkap untuk cahaya yang optimum, dan bajakannya sekali sebulan. Pastikan anda meletakkannya di dalam pasu yang membenarkan penyaliran air dan udara ke akar. Anda boleh beli pokok limau kecil di kedai hiasan taman.


Pudina

Jam-jam terakhir sebelum peperiksaan akhir semester kimia anda, dan anda begitu gementar dan tertekan ketika membaca nota-nota anda buat kali terakhir. Bagi melegakan tekanan dengan cara mudah, alami dan sihat, cubalah pudina. Tumbuk atau kunyah sehelai daun pudina untuk mengeluarkan satu aroma kuat yang menyegarkan, yang boleh menghilangkan pening dan sakit tekak, dan menyegarkan nafas anda.

Lidah buaya sebagai hiasan bilik.Lidah buaya sangat sesuai untuk hiasan bilik pelajar. Kredit foto: Charlotte Hupfield Ceramics
Pudina adalah sangat mudah untuk ditanam. Letakkan pokok ini dalam pasu yang lembap, bersaliran baik dan pastikan ia mendapat banyak cahaya sepanjang tahun. Pudina ada dijual dan boleh dibeli dalam pasu atau dalam bentuk benih.


Lidah Buaya (Aloe Vera)

Anggapkan pokok lidah buaya anda sebagai pokok ubat peribadi anda – sekurang-kurangnya bagi kegatalan kulit. Hanya petik satu daun dan picitkan keluar cecairnya kepada kulit untuk kelegaan segera. Pokok lidah buaya sangat sesuai bagi bilik yang tidak mendapat cahaya yang banyak, dan tidak memerlukan penyiraman yang kerap.

Cuba dapatkan pokok yang sudah matang. Ianya satu pokok yang mudah untuk dijaga dan boleh membantu anda. Rasanya anda tiada masalah untuk mencari di mana pokok ini dijual.


Kaktus

Menjaga kaktus dengan berjaya adalah satu ujian yang membantu anda mengenali lebih sedikit tentang diri anda sendiri. Jika pokok ini mati, bermakna anda lebih mengabaikannya lebih dari apa yang dilakukan oleh si gurun panas, atau mungkin juga anda terlebih siram. Satu sahaja panduan asas untuk pokok ini: Jangan terlebih siram.

Kaktus sangat mudah untuk dibeli – carilah di kedai-kedai bunga berdekatan anda atau boleh juga di kedai peralatan rumah.
read more "Empat Pokok Hiasan Yang Baik Untuk Bilik Anda"

Sunday, December 19, 2010

Malaysia ke Final Piala Suzuki AFF 2010

Malaysia tewaskan Vietnam.Malaysia mengulangi pencapaian terbaiknya pada kejohanan Piala Suzuki AFF apabila melayakkan diri ke perlawanan akhir buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun selepas menyingkirkan penyandang juara, Vietnam menerusi agregat 2-0 pada saingan separuh akhir.

Semalam, pasukan negara mengikat Vietnam dengan keputusan seri tanpa jaringan pada separuh akhir kedua di Hanoi menyaksikan keputusan yang cukup bermakna untuk membawa skuad bimbingan K. Rajagobal itu melangkah ke final selepas memenangi pertemuan separuh akhir pertama 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu lalu.

Sekalung tahniah buat skuad negara.
read more "Malaysia ke Final Piala Suzuki AFF 2010"

Wednesday, December 15, 2010

Ceriakan Hari Anda - Senyumlah Selalu

Senyum selalu. Senyuman dari seekor kambing.
Senyumlah selalu. Senyuman membuka pintu rezeki, memperluas perkenalan, mengeratkan silaturrahim, menyubur kasih sayang, menyemai cinta lantas menceriakan hari anda. Senyum ibarat satu sihir hebat memukau setiap insan yang memandangnya. Maka senyumlah selalu. :)

Mungkin menarik minat anda untuk terus senyum: Rahsia Di Sebalik Senyuman
read more "Ceriakan Hari Anda - Senyumlah Selalu"

Tuesday, December 14, 2010

Fakta Tentang Kutu

Fakta Tentang Kutu: Fakta Asas, Tanda-tanda, Jangkitan, Rawatan, Jangan.

Fakta Asas

  • Untuk mendapat jangkitan kutu memerlukan sentuhan dari kepala ke kepala.
  • Sesetengah orang tidak menunjukkan sebarang gejala, sesetengah pula berasa gatal kulit kepala.
  • Hanya satu cara sahaja untuk mendapat kepastian tentang jangkitan iaitu dengan membasahkan rambut, membubuh perapi pada rambut dan menyikatnya dengan sikat bergigi halus untuk mengesan kutu hidup (saiz dalam lingkungan 1-3 mm panjang).
  • Rawatan yang paling selamat ialah ‘penghapusan kutu’, iaitu satu regim penyikatan.

Tanda-tanda


Walaupun sangat kecil, kutu masih boleh dilihat dengan mata kasar. Tanda-tanda kutu:

Telur kutu: Telur kutu kelihatan kecil kekuningan, atau coklat sebelum ia menetas. Setelah menetas, kulitnya yang terlekat pada rambut berwarna putih atau jernih. Kutu bertelur pada rambut dekat dengan permukaan kulit, di mana suhunya adalah sesuai untuk mengekalkan haba sehingga ia menetas. Telur kutu senang dilihat pada rambut kanak-kanak. Telur kutu menetas dalam masa 1 hingga 2 minggu selepas ia dihasilkan.

Seekor kutu.Seekor kutu.
Kutu dewasa dan anak kutu: Kutu dewasa tidak besar, tidak sampai sebesar beras pun dan berwarna kelabu dan coklat. Kutu menghisap darah beberapa kali dalam sehari tetapi ia boleh kekal hidup sehingga 2 hari selepas terjatuh dari kulit kepala.

Menggaru: Menggaru dan kegatalan datang dengan gigitan kutu. Namun kegatalan mungkin tidak terus bermula – ia bergantung kepada kesensitifan kulit kepala kanak-kanak, mungkin datang setelah berminggu-minggu jangkitan. Kanak-kanak mungkin menyatakan ada benda bergerak dan rasa geli di atas kepala mereka.

Benjolan kecil kemerahan atau sakit akibat dari menggaru: Bagi sesetengah kanak-kanak, kegatalan mungkin sederhana, bagi yang selebihnya mungkin menyebabkan bintik merah dan kudis timbul. Menggaru terlalu kuat boleh menyebabkan jangkitan kuman.

Adakah Kutu Boleh Berjangkit?


Kutu adalah sangat boleh berjangkit dan boleh tersebar dengan cepat dari orang ke orang, terutamanya dalam keadaan berkumpulan (sekolah, tadika, aktiviti sukan, perkhemahan). Kutu tidak boleh melompat atau terbang. Kutu hanya boleh berjangkit dengan sentuhan kepala ke kepala, tetapi berkongsi pakaian, topi, sikat, cadar, selimut dan bantal juga boleh menyebarkan kutu.

Adakah kucing, arnab dan haiwan peliharaan lain boleh menyebarkan kutu juga? Jangan risau, haiwan peliharaan tidak boleh mendapat kutu kepala (kutu manusia) dan menyebarkan kepada manusia, dan manusia tidak boleh memberi jangkitan kutu kepala kepada mereka.

Rawatan


Doktor anda mungkin memberi rawatan syampu berubat, bilasan krim atau losyen untuk membunuh kutu. Rawatan-rawatan ini boleh membunuh kutu dengan segera, tetapi kegatalan hanya hilang selepas beberapa hari. Adalah penting untuk menurut arahan dari doktor kerana rawatan ini adalah racun. Sekiranya anak anda adalah 2 tahun dan ke bawah, anda tidak sepatutnya menggunakan rawatan ubat kutu. Anda perlu membuang kutu dengan tangan (menggunakan sikat).

Berikut adalah cara mudah untuk membunuh kutu dan telurnya, dan membantu mencegah jangkitan semula kutu:
  • Basuh semua cadar dan pakaian yang telah dipakai oleh sesiapa sahaja yang telah terkena jangkitan kutu di rumah anda dalam air panas, dan keringkannya di tempat panas.
  • Cuci kering sebarang pakaian dan permainan yang tidak boleh dibasuh dengan mesin. Atau, masukkannya dalam beg kedap udara selama 2 minggu.
  • Bersihkan dengan pembersih hampagas karpet dan perabot upholsteri anda (di rumah atau kereta).
  • Rendam barang penjagaan rambut seperti sikat, pengikat rambut dan berus dalam syampu berubat atau alcohol selama satu jam. Anda juga boleh membasuhnya dengan air panas atau buangkan sahaja ia.
  • Oleh kerana kutu mudah berjangkit dari seorang keseorang dalam rumah yang sama, ahli rumah juga perlu dirawat untuk mengelak dari kutu hadir semula.

Perkara Yang Anda Jangan Buat:

  • Jangan gunakan alat pengering rambut pada rambut anak anda selepas menyapu atau mengenakan sebarang rawatan kulit kepala kerana sesetengahnya mengandungi bahan boleh terbakar.
  • Jangan gunakan bilasan krim atau kombinasi syampu/perapi sebelum membubuh ubat kutu.
  • Jangan basuh rambut anak anda selama satu atau dua hari selepas menggunakan rawatan berubat.
  • Jangan gunakan ubat yang sama lebih dari tiga kali ke atas orang yang sama. Sekiranya ia tidak berkesan, doktor anda akan menyarankan ubat lain.
  • Jangan gunakan lebih dari satu ubat kutu pada masa yang sama.
read more "Fakta Tentang Kutu"

Friday, December 10, 2010

Pencemaran Udara Global

Peta Pencemaran Udara Dunia/GlobalPencemaran Udara Global

Rajah di atas menunjukkan peta global jangka panjang yang menunjukkan ketumpatan jirim terampai dengan diameter di bawah 2.5 mikrometer . Saiz ini penting, kerana ianya cukup kecil untuk melepasi pertahanan tubuh dan masuk melalui paru-paru, menjadikan ianya merbahaya kepada kesihatan manusia. Pakar epidemik percaya jirim terampai ini telah menyebabkan berjuta kematian pramatang manusia setiap tahun.

Satelit sukar untuk mengimbas permukaan bumi – sebaliknya ia mengimbas satu lajuran udara dalam atmosfera, dan ianya sukar untuk mendapatkan bacaan pada aras tertentu dari data. Kumpulan pengkaji yang menghasilkan peta ini, Randall Martin dan Aaron van Donkelaar dari Universiti Dalhousie, Halifax, Nova Scotia, Kanada, menggabungkan ukuran lajuran jumlah aerosol dari satelit dengan maklumat tentang bagaimana aerosol disebarkan menegak dalam atmosfera untuk mendapatkan data untuk peta tersebut.

Peta ini, seperti di atas menunjukkan satu jalur kawasan yang luas kepadatan tinggi jirim partikel, merentasi gurun Sahara, Timur Tengah, Asia Tengah dan China, dan yang hanya diasingkan oleh banjaran Himalaya. Eropah Tengah juga menunjukkan bacaan yang meruncing, termasuklah di tenggara England, dan kawasan bandar di Utara dan Selatan Amerika.

Tahap yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia adalah 10 mikrogram per meter padu, jadi dari peta di atas apa sahaja yang berwarna hijau dan ke atas adalah perlu diberi perhatian. Apabila partikel-partikel ini memasuki paru-paru, ia boleh menyebabkan lelah, penyakit kardiovaskular dan bronkitis. Malahan sesetengah partikel yang sangat halus boleh masuk ke aliran darah.

Partikel-partikel ini sesetengahnya adalah buatan manusia dan sesetengahnya adalah semulajadi. Para saintis belum lagi mendapat angka pecahannya, tetapi kedua-dua partikel adalah merbahaya kepada kesihatan manusia. Di gurun-gurun negara Arab dan Sahara, sebahagian besarnya adalah debu mineral semulajadi yang ditiup angin, tetapi di China dan utara India, ianya adalah partikel jelaga yang dikeluarkan oleh stesen janakuasa, kilang-kilang dan kereta.

Dari kajian ini ternyata ramai orang terdedah kepada partikel terampai pada tahap tinggi. Namun takat di mana ianya boleh menyebabkan penyakit dan kematian masih belum lagi diketahui. kredit imej: NASA
read more "Pencemaran Udara Global"

Friday, December 3, 2010

10 Cara Menjimatkan Wang Petrol Kereta Anda

Tip penjimatan minyak petrol kereta anda.Penggunaan minyak petrol sememangnya adalah sesuatu yang perlu dalam hidup kita seharian. Dengan peningkatan harga minyak petrol dari semasa ke semasa kerana disebabkan oleh permintaan yang semakin meningkat, kita semestinya perlu menjimatkan penggunaan sumber ini agar ia tidak menjadi beban yang berat dan menjadi satu sumber yang mapan.

Walaupun harga petrol menyusut kerana disebabkan oleh kelembapan ekonomi dunia, keadaan-keadaan yang tidak diduga seperti tumpahan minyak dan bencana alam masih boleh menyebabkan harga minyak melambung naik.

Sama ada anda merancang untuk perjalanan yang jauh atau hanya tidak mahu menggunakan wang anda untuk menggunakan pengangkutan awam, terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk menjimatkan wang petrol anda. Strategi paling mudah ialah dengan mengurangkan kekerapan memandu, atau mungkin berkongsi kereta atau dengan berbasikal sahaja, tetapi janganlah rasa putus angin jika ini bukan satu pilihan buat anda.

Baca 10 cara untuk mengurangkan masa dan duit yang anda gunakan untuk mengisi minyak petrol di bawah:

1. Pemanduan Yang Tenang dan Stabil Menjimatkan


Jarak perjalanan per liter (perbatuan) menurun dalam kebanyakan kereta sekiranya anda memandu lebih dari 100 km/j (rujuk carta di bawah). Bagi setiap 10 km/j anda memandu lebih dari 100 km/j, anda membayar 1 ringgit lebih bagi setiap jam perjalanan itu.

Perbatuan (mileage) per laju kereta. (Data dari fueleconomy.gov)

Cuba gunakan kawalan jelajah (cruise control) pada jalan raya untuk mengekalkan halaju. Ia juga boleh membantu kereta anda menggunakan pemacu lampaunya (overdrive), yang mana boleh menjimatkan bahan api dan mengurangkan kehausan enjin dengan mengurangkan kelajuan enjin. (Nota: Pemacu lampau ialah satu set gear tambahan yang dipasang dalam sistem pemindahan kuasa untuk mengurangkan kelajuan enjin tanpa menjejaskan kelajuan kereta, dengan aci pacunya memacu lebih cepat daripada putaran aci engkol.)

2. Tenang di Trafik


Pemanduan agresif – memandu laju, membelok, memecut dan membrek dengan tiba-tiba – bukan sahaja berbahaya, ia juga boleh mengurangkan perbatuan anda sebanyak 33 peratus di lebuhraya dan 5 peratus di jalan bandaran. Menekan minyak kereta anda semasa sedang berhenti adalah lebih merugikan.

3. Penyaman Udara


Penyaman udara boleh menyedut banyak minyak petrol anda, jadi jangan biarkan ia ternyala tanpa kira, dan tentu sekali jangan biarkan ianya menyala ketika tingkap sedang terbuka walaupun sedikit. Anda boleh meningkatkan kecekapan bahan api anda dalam trafik yang terhenti-henti dengan menutup penyaman udara anda dan menurunkan cermin tingkap, tapi ini tidak semestinya perkara terbaik bagi anda.

Apabila memandu lebih dari 90 km sejam, terutamanya bagi tempoh yang lama di lebuhraya, perkara ini adalah sebaliknya – membuka tingkap menjadikan kenderaan kurang aerodinamik dengan membiarkan udara masuk, yang mana akan meningkatkan rintangan udara dan menurunkan kecekapan bahan api. Dalam perjalanan jauh, menggunakan penyaman udara sebenarnya boleh meningkatkan perbatuan anda sehingga 20 peratus.

4. Jangan Menghidupkan Kereta dan Tidak ke Mana-mana


Mengepam keluar gas rumah hijau dari kereta anda tanpa tiba ke mana-mana, melahukan kereta juga menyumbang kepada ozon aras tanah, jirim partikel terampai, dan pencemaran udara yang lain. Pelepasan gas ini boleh memburukkan lagi asma dan mengganggu pernafasan manusia, terutama kanak-kanak dan warga tua.

Jika anda membiarkan kereta hidup (melahu) untuk hanya memanaskan enjin kereta, ianya hanya perlu selama satu minit sahaja. Lebih dari itu adalah membazir.

5. Kereta Yang Sihat


Membaiki kereta yang memerlukan penalaan (tuning) atau yang tidak melepasi had ujian pelepasan gas boleh meningkatkan kecekapan bahan api secara purata sebanyak 4 peratus. Lebih serius, pengesan oksigen yang rosak boleh mengurangkan perbatuan anda sehingga 40 peratus.

Juga jangan lupa untuk menukar minyak pelincir setiap 10 000 km atau tiga bulan, yang mana dicapai lebih dahulu.

6. Pam Angin Tayar


Memastikan tayar kereta kembung dengan baik boleh meningkatkan kecekapan bahan api sebanyak lebih kurang 3.3 peratus. Ianya juga lebih selamat dan memanjangkan usia tayar anda kerana tayar yang kurang kembung hilang bunganya dengan cepat selain dari membazirkan minyak. Pemeriksaan kesejajaran dan keseimbangan tayar anda juga satu perkara yang baik.

7. Mengurangkan Beban Kereta


Walaupun ini mungkin kebanyakannya melibatkan kereta-kereta kecil, membawa lebih muatan bermakna membakar lebih petrol, tidak kira sebesar mana pun kereta anda. Secara purata, anda mengurangkan kecekapan bahan api anda sehingga 2 peratus bagi setiap 45 kilogram yang anda bawa.

8. Ikut Saranan Dari Pengeluar Kereta Anda


Menggunakan gred minyak pelincir yang disaran oleh pengeluar kereta anda boleh meningkatkan perbatuan sehingga 1 ke 2 peratus. Cuba juga guna gred petrol terendah yang sesuai untuk kereta anda, memandangkan oktana gred tinggi berharga beberapa sen lebih mahal.

Lihat pada manual pengguna anda untuk kepastian, tetapi selagi mana enjin anda tidak berlaku ketukan enjin (knocking), anda kemungkinan tiada masalah. Bertukar dari petrol premium kepada biasa akan menjimatkan beberapa ratus mungkin ribu ringgit setahun.

9. Penutup Yang Ketat


Minyak petrol boleh meruap dari tangki bahan api kenderaan sekiranya ada bukaan, yang sudah tentu tidak baik untuk poket anda dan paru-paru anda. Pastikan penutup tangki petrol anda ditutup ketat setelah anda mengisi minyak. Jika alur penutup sudah haus atau longgar, anda mungkin perlu membeli yang baru.

10. Bersama Dengan Yang Lain


Berkongsi kereta, atau lebih baik, jangan langsung berkereta – berjalan, berbasikal atau menggunakan pengangkutan awam. Ia boleh menjimatkan wang anda, meningkatkan kesihatan diri anda, dan juga membantu bumi dengan mengelakkan gas rumah hijau keluar ke atmosfera.

Anda ada tip lain yang mungkin kami telah tertinggal? Harap boleh kongsikannya dalam ruangan komen di bawah.
read more "10 Cara Menjimatkan Wang Petrol Kereta Anda"
 

Terkini dari Macam-macam

Promo

Followers

Langgan Percuma Laman Ini

Mahu langganan percuma laman ini? Masukkan emel anda di bawah dan tekan 'Langgan'. Periksa emel anda selepas itu untuk pengaktifan langganan: